Ahad, 17 April 2022

Gaza Benteng Utama Ustnaniyah

Hari ini 105 tahun yang lalu, bermulanya Pertempuran Gaza kedua.

Gaza menjadi benteng pertahanan utama Uthmaniyah di selatan Palestin daripada kuasa Bersekutu yang dikepalai British semasa Perang Dunia I, yang melancarkan percubaan pertama untuk menembus Gaza pada 26 Mac 1917 namun gagal.

Bagaimanapun Komander British di wilayah itu, Archibald Murray memberikan gambaran situasi yang salah kepada London. Ketika jumlah kematian tentera British pada angka 4,000 nyawa, beliau melaporkan angka korban Uthmaniyah lebih tinggi walhal hanya 2,400.

Dek salah maklumat itu, Pejabat Perang British menganggap mereka hampir berjaya membolos Gaza, maka diarahkan Murray untuk menyusun semula barisannya & melancarkan gelombang kedua serangan, kali ini Baitulmaqdis sebagai sasaran utama.

Tersentak dengan serangan pertama, tetapi tidak buat kali kedua. Pertahanan Uthmaniyah di Gaza dapat membaca strategi British itu & memperkukuh serta memperluas barisan mereka di bawah pimpinan General Jerman, Kress von Kessenstein.

Dengan kekuatan 18,000 anggota iaitu 2 kali ganda kekuatan Uthmaniyah, British mula menyerang pada 17 April 1917 dalam 3 divisyen infantri dibantu 8 kereta kebal Mark I & 4,000 bom gas. 3 hari bertempur, namun British sekali lagi menemui kegagalan.

British menanggung padah terbesar, 6,444 tentera mereka maut sementara Uthmaniyah hanya hilang 1/3 daripada angka itu. Dengan kekalahan itu, British memanggil pulang Murray ke London & mempersiapkan semula barisan dengan memanggil sekutu mereka.

Di bawah pimpinan komander baharu, Edmund Allenby, angkatan British yang diperkuat dengan tentera Perancis & Itali melancarkan serangan ke-3 yang akhirnya menyaksikan Gaza tumbang & jatuh ke penguasaan mereka pada November tahun itu.

Ia membolehkan angkatan Bersekutu meneruskan kemaraan ke Baitulmaqdis lalu menawan kota suci itu pada 9 Disember 1917.

*Gambar memaparkan barisan kor mesingan Uthmaniyah mempertahankan Gaza pada 1917.

Sumber: FirstWorldWar, History

Tiada ulasan:

Catat Ulasan