Hari ini 1,428 tahun Hijrah yang lalu, dipercayai tarikh Saidina Umar al-Khattab RA memasuki Baitulmaqdis buat kali pertama.
Selepas berjaya menakluk Syria, tentera Islam mengepung Baitulmaqdis yang ditadbir oleh kuasa Byzantine. Selepas 4 bulan, akhirnya Byzantine menyerah kalah tanpa sebarang pertumpahan darah.
Bagaimanapun, Sophonius, pemimpin Gereja Kristian Baitulmaqdis tidak mahu menyerahkan kunci kota kepada tentera Islam di situ melainkan ke tangan khalifahnya, Umar RA sendiri.
Angkatan Islam melihat permintaan ini sesuatu yang sukar, kerana jarak antara Baitulmaqdis dengan Madinah yang begitu jauh. Namun mengambil kira kepentingan kota itu, Umar RA setuju untuk menurutinya.
Beliau berangkat ke Baitulmaqdis tanpa rombongan besar, hanya bersama seorang khadam & seekor unta. Sepanjang perjalanan, beliau & khadamnya saling bergilir menunggang unta & berjalan kaki.
Beliau juga hanya memakai pakaian biasa seperti khadamnya. Kesederhanaan itu mengagumkan warga Baitulmaqdis tatkala beliau tiba di kota itu & disambut oleh Sophonius.
Umar RA dibawa melawat sekitar kota termasuk Gereja Makam Suci tempat Nabi Isa AS disalib. Setibanya waktu solat, Sophonius menjemput Umar RA bersolat di dalam gereja itu namun beliau menolak.
Ini kerana kata Umar RA andai beliau berbuat demikian, umat Islam akan menuntut tempat itu sebagai milik mereka & menjadikannya masjid. Maka beliau bersolat di luar gereja & ruang tersebut kemudian menjadi Masjid Umar.
Beliau juga meminta dibawa ke batu suci 3 agama di mana lokasi Rasulullah SAW diangkat ke langit semasa Isra’ Mikraj. Beliau mengarahkan sekitar kawasan itu dibersihkan & dibina Masjid al-Aqsa tidak jauh dari situ.
Penaklukan Baitulmaqdis itu menjadi rasmi dengan termeterainya Perjanjian Umar, menggariskan bahawa semua agama boleh diamalkan di kota itu, asal patuh kepada undang-undang serta membayar cukai.
Selepas 500 pemerintahan tidak adil Empayar Rom di kota itu, akhirnya Islam, Kristian & Yahudi dapat hidup aman bersama di Baitulmaqdis.
Sumber: Al Arabiya, Egypt Today, Saudi Gazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan