Sabtu, 11 Mac 2017

※Seloka Ketuhanan※

Catitan Ketauhidan.

Allah zat yang Maha Mulia,
Bersifat kesempurnaan itulah Dia,
Bersifat kekurangan semestinya tiada,
Wajib diyakini setiap manusia.

Wujud Allah wujud zati,
Wujud makhluk wujud aridi,
Wujud makhluk bertemu mati,
Wujud Allah kekal abadi.

Allah taala bersifat sedia,
Tiada permulaan itulah Dia,
Sedia hakiki zat dan sifatNya,
Tidak dicipta oleh sesiapa.

Kekal selamanya zat Yang Esa,
Tiada binasa kekalNya zati,
Kita makhluk wajib binasa,
Kalaupun kekal hanyalah aridi.

Berbeza Allah dengan yang baharu,
Berbeza zat, sifat dan af'alNya,
Tidak bertempat tidak berwaktu,
Tidak berjirim itulah Dia.

Tiada berhajat Yang Maha Kaya,
Tidak menumpang mahupun dicipta,
Semua makhluk berhajat padaNya,
Itulah Dia Maha Pencipta.

Tuhan kita hanyalah satu,
Tidak berbilang zat, sifat dan af'alNya,
Maha Esa tidak bersekutu,
Berbilang itu hanyalah makhlukNya.

Allah taala Maha Kuasa,
kuasa dengan sifat qudratNya,
Kita makhluk tidak berkuasa,
Sekalian mumkinat dita'luq qudratNya.

Allah Kita Maha kehendaki,
Kehendak dengan sifat iradatNya,
Segala sesuatu ditentukan Illahi,
Tidak berlaku tanpa ketentuanNya.

Allah taala Maha Mengetahui,
Tahu dengan sifat ilmuNya,
Sekalian perkara Dia ketahui,
Wajib mustahil harus semuanya.

Maha Hidup Tuhan kita,
Hidup dengan sifat hayat,
Mustahil mati Tuhan kita,
Adapun kita jadi mayat.

Tuhan kita Maha Melihat,
Mustahil Dia bersifat buta,
Melihat Dia segala maujudat,
Tiada sembunyi semuanya nyata.

Tuhan kita Maha Mendengar,
Mustahil pula bersifat tuli,
Segala maujud Dia dengar,
Bukan sekadar mendengar bunyi.

Allah Maha berkata-kata,
Berkata apa yang hendak dikata,
Lalu dijadikan huruf dan suara,
Agar difahami Nabi Musa.

Sekian sahaja seloka saya,
Untuk pengetahuan kita semua,
Bagi yang jahil sangatlah bahaya,
Mari mengaji muda dan tua.

Nukilan  : 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan