Selasa, 16 Disember 2025

Jasa Aceh Kepada Tanah Melayu Yang Patut Kita Hargai

Penulis : Hasanuddin Yusof
                 Maktab Penyelidikan 
                 Tamadun Alam Melayu dan Islam
----------------------------------------------------
Saya lihat pada hantaran saya yang lepas, ada juga yang kelihatan terlalu membenci Aceh. Hairan betul saya. Kalau ikutkan saya mahu saja menjawab, tetapi apakan daya masa saya terlalu padat. Saya fikir buang masa berdebat di ruangan komen FB.

Perlu kita ingat, jasa Aceh pada kita sangat besar. Jasa Aceh yang paling besar pada Tanah Melayu adalah dalam bidang dakwah dan pendidikan. Sebelum kewujudan Kesultanan Aceh lagi, Kesultanan Samudera Pasai yang bertapak di Aceh telah menjadi rujukan utama Kesultanan Melaka dalam bidang keilmuan Islam. 

Semasa zaman Kesultanan Melaka, jika ada pertanyaan sulit dalam bidang agama yang tidak dapat diselesaikan oleh ulama Melaka, maka pertanyaan tersebut akan dihantar ke Samudera Pasai untuk dijawab oleh ulama-ulama Samudera Pasai.

Hubungan dakwah Aceh-Tanah Melayu tidak hanya terhenti pada zaman Samudera Pasai. Selepas tertubuhnya Kesultanan Aceh, hubungan dakwah dan pendidikan Islam terus terjalin antara Aceh dan Tanah Melayu.

Semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani, baginda pernah mengirimkan kitab-kitab pengajian agama ke Kedah. Antara yang masyhur ialah kitab Sirat al Mustaqim, Durr al-Fara’id dan Bab al-Nikah karangan ulama besar merangkap penasihat utama Sultan Iskandar Thani iaitu Syeikh Nuruddin ar-Raniri.

Pengganti Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai penasihat utama Kesultanan Aceh iaitu Syeikh Abdul Rauf as-Sinkili pula menjadi guru besar kepada ulama-ulama Tanah Melayu pada zamannya iaitu pada abad ke-17. Antara muridnya yang masyhur ialah Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) dari Terengganu dan Syeikh Syahibuddin (Tok Budin) dari Pahang.

Selain itu, pada zaman Syeikh Abdul Rauf as-Sinkili (1620-1693) juga, ramai di kalangan para ulama Aceh datang ke Perak untuk membuka, mengembangkan dan mengaktifkan  pondok-pondok pengajian Islam di Perak. Antaranya ialah pondok-pondok pengajian di Teluk Bakong, Teluk Sareh dan Tebing Pulai.

Belum lagi bahaskan sumbangan mahakarya  ulama-ulama Aceh pada perkembangan ilmu di Tanah Melayu seperti Bustanul Salatin, Turjuman al-Mustafid, Mir'atut Thulab, Mir'atul Mukminin dan banyak lagi, pasti kita tidak dapat menolak jasa Aceh pada kita.

Selain bidang dakwah dan pendidikan, jasa Aceh pada Tanah Melayu dalam usaha jihad juga sangat besar. Antaranya ialah sebagai tapak pengaliran teknologi senjata api dari Uthmaniyah. Jika ada masa Insya Allah saya akan kongsikan. 

Jadi pada saya tidak salah jika ada yang menyatakan kita patut membantu Aceh kerana Aceh dulu pernah membantu kita. Kenyataan ini benar jika diukur menurut neraca sejarah. Jasa mengembangkan Islam itu bukanlah jasa yang kecil.

Gambar : Saya hampir 10 tahun yang lalu di samping batu nisan Aceh di Kota Seluyut, Johor, tempat kelahiran Tun Seri Lanang. 

Penyebaran batu-batu nisan Samudera Pasai dan Aceh di banyak tempat di Semenanjung Malaysia menjadi salah satu bukti betapa eratnya hubungan dakwah Islam antara Aceh dan Tanah Melayu.

--------------------------------------


Tiada ulasan:

Catat Ulasan